THE FIRST CRY

05 May, 2010

Amaran : Entry ini sangat panjang

Entry ini dibuat untuk contest Mother's Day Giveaway by Alice Wonders. Untuk maklumat lanjut boleh mengenai contest boleh berkunjung ke MomBloggersPlanet dan AliceWonders






Sebenarnya dah hampir 1 minggu Mama plan nak buat entry ni tapi Mama tak tahu macam mana nak menterjemahkan segala pengalaman dalam bentuk ayat dan perenggan. Satu pengalaman yang sentiasa akan dikenang sepanjang hayat. Ia perlu ketelitian dan perasaan yang mendalam untuk dicoretkan. Khas untuk putera sulung Mama Aqil Zehni B Najmi Rahimi. Pertama kali di dalam blog Mama coretkan  kronologi kelahiranmu.
14 April 2007

Hari ini Mama sudah masuk di pertengahan minggu ke 38. Hampir setiap hari Mama bercakap dengan Baby A. Alhamdulillah Baby A seorang anak yang baik. Setiap hari di saat Mama sampaikan kuliah Baby A akan diam dan tenang seolah-olah dibuai mimpi. Baby A hanya akan mula menendang setelah Mama selesai menjalankan tanggungjawab menyampaikan ilmu pada anak didik  . Malam selepas makan Mama sedar ada seperti "turun tanda" dalam bentuk darah. Papa terus bawak Mama ke Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) tempat di mana Mama menjenguk perkembangan Baby A menerusi teknologi scan bersama Dr Fatima setiap bulan. Midwife yang bertugas beritahu Mama baru dilate 2 cm. Tapi kerana ini pengalaman pertama, Mama dan Papa bersetuju supaya Mama bermalam di hospital. Kesian Papa. Sepanjang malam tidur di sofa luar di bilik tetamu. Tokwan dan Opah di Taiping serta Atuk dan Wan di Rembau telah dimaklumkan. Sepanjang malam Mama tak dapat lelapkan mata walaupun tiada kontraksi. Mujur Mama ada bawa bersama buku tulisan ustazah Siti Nor Bahyah bertajuk 'Amalan ibu mengandung' . Mama baca sehingga nurse bertugas datang menegur Mama untuk tidur. Katanya Mama perlu berehat.

15 April 2007
Selepas sarapan Dr datang melawat. Kata Dr Mama dilation masih 2 cm. Pukul 9.00 pagi Mama dimasukkan dalam labour room untuk CTG. Dalam labour room Papa temankan Mama. Mama tak rasa apa-apa kontraksi sehinggalah Dr pecahkan ketuban. Setengah jam selepas air ketuban dipecahkan kontraksi semakin kuat dan kerap. Buat pertama kali dalam hidup Mama akan lihat jam di dinding setiap 5 minit..dan kemudian 2 minit..Mungkin benar kata orang, di saat-saat untuk melahirkan anak terasa seperti nyawa seperti di hujung tanduk. Setiap kali kontraksi Mama hanya mampu sebut Ya Allah (dalam hati ada juga terdetik lepas ni tak nak pregnant lagi huhuhu). Dr dan mid wife bertugas kerap datang untuk lihat bacaan CTG. Dari pukul 9.30 sehingga pukul 11.30 Mama bergelut dengan kontraksi tapi Dr kata Mama hanya dilate 5 cm . Bacaan heart beat baby semakin lemah (mungkin Baby A juga penat). Mama dengar Dr berbincang sesuatu dengan Papa. Dr tunjukkan graf CTG pada Papa. Kesian Papa. Sure dia blur dan tension. Orang grad science computer sekali di explain dengan bermacam medical terms. Air mata Mama terus mengalir sebab Mama faham apa yang Dr cakap pada Papa. Kebimbangan Mama mengatasi kesakitan ketika itu.. Mama terlalu bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada Baby A yang Mama kandung selama 38 minggu.

Jam 11.45 am selepas Papa menandatangani surat persetujuan Mama ditolak ke bilik pembedahan (OT). Air mata Mama semakin laju. Opah dan Tukwan masih dalam perjalanan dari Taiping. Mama dah minta maaf pada Papa tapi Mama takut sangat kalau apa-apa terjadi tak sempat nak minta maaf pada ibu Mama sendiri @ opah. Atuk dan Wan Rembau dah sampai sebelum Subuh tadi.  Mama hanya sempat bertemu Wan beberapa saat dalam perjalanan ditolak ke bilik pembedahan. Dalam hati Mama tak putus-putus berdoa. Melahirkan anak secara pembedahan memang tak pernah terlintas dalam fikiran Mama. Mama tak pernah buat sebarang persediaan fizikal atau mental untuk menghadapi situasi ini. Tapi di saat itu Mama kuatkan diri. Walau apa pun terjadi , walau apa pun cara , Baby A perlu keluar dengan selamat.

Dalam OT Papa setia di sisi Mama. Mama tahu dari manik-manik peluh di muka Papa dalam bilik yang berhawa dingin itu pastinya Papa sedang membina satu kekuatan. (dalam hati Mama pun berharap Papa tak pengsan. Siapa nak azankan Baby A nanti). Papa cuba untuk berani demi melihat Baby A dilahirkan walaupun Papa banyak kali beritahu Mama dia takut dengan darah. Selepas dibius hilang segala kesakitan kontraksi. Mama terasa lemah kerana kepenatan. Walaupun penat Mama asyik bertanya pada Dr "how's my baby". Mujurlah Dr sabar menjawab pertanyaan Mama (walaupun dari nadanya macam nak marah sebab patient sorang ni tak dengar cakap) dan pesan supaya Mama jangan bercakap. Kata Dr, Mama perlu bertenang untuk memastikan tekanan darah stabil sepanjang pembedahan. Mama tak nampak apa yang mereka sedang buat tapi Mama rasa bahagian bawah badan digerak-gerak. Kemuncak pembedahan ialah bila Dr beritahu mereka dah bersedia nak keluarkan Baby A. Mama rasa goncangan yang agak kuat pada perut. Mama dengar Dr cakap "Baby cord round neck" (Terbelit tali pusat).  Mama dengar Dr dan nurse bilang SATU...DUA (Baby A terbelit dua kali rupanya). Tapiiiii.... Mama tak dengar tangisan Baby A. Hanya dengar suara Dr arahkan itu dan ini.  Mama terus bertanya "Dr...kenapa baby saya tak menangis?. Apa berlaku?" . Mama tanya berulang kali walaupun Mama tahu Dr sedang sibuk dengan tugasnya. macam-macam dalam fikiran Mama. Baby lemas ke..tak cukup oksigen ke..Detik-detik penantian itu hanya beberapa saat tetapi Mama terasa seperti bertahun-tahun. Menunggu tangisan pertama Baby A...Alhamdulillah akhirnya tangisan Baby A kedengaran memecah kesunyian OT (kuat betul suara hero Mama seorang ni) . Midwife bawa dan tunjukkan Baby A pada Mama. Mama hanya sempat cium pipi sebelum Baby A dibawa keluar untuk diperiksa paed yang sedang menunggu. Papa pun ikut keluar untuk  azankan Baby A.


Inilah gambar Aqil pada hari ketiga . Ready nak keluar hospital.



Aqil celebrate besday 3 tahun pada 15 March 2010 dengan Mama, Papa dan adik Dini


To my son Aqil
Mama tak ada gambar Aqil sebaik sahaja selepas dilahirkan seperti adik Dini.  Tapi mengertilah sayang, ia bukan diskriminasi..Kami tak menyangka akan menempuh saat cemas Mama perlu melalui emergency cesar.. Kamera bukan lagi prioriti ketika itu. Sesungguhnya tangisan pertama Aqil melodi terindah dalam hidup Mama dan Papa.

To bakal ibu dan ibu-ibu
Saat kelahiran anak pastinya satu kenangan kita seumur hidup. Setiap satunya unik dan tersendiri walau dengan apa cara kelahiran. Kita hanya mampu merancang tapi Allah lebih mengetahui perancangan terbaik untuk hambanya. Bersedialah dengan sebarang kemungkinan dan kecemasan. Lengkapkan dirimu dengan segala ilmu (saya dulu tak pernah baca info menghadapi saat lepas kelahiran caesarian. Sibuk baca cara berpantang kelahiran normal). Setelah tiga tahun bergelar ibu, setiap tahun di hari kelahiran saya, perkara pertama yang saya buat ialah menelefon mama saya di Taiping. Saya mohon kemaafan dan ucapkan terima kasih..Kerana saya tahu berpuluh tahun dahulu, di tarikh yang sama dia bergelut dengan kesakitan untuk melahirkan saya. Dia juga cemas dalam kesakitan menanti 'THE FIRST CRY' kerana saya adalah permata hati pertama dalam keluarga.


Di bawah saya sertakan satu clip video kelahiran caesarian . Sekadar berkongsi info.. Untuk langkah berjaga-jaga, lihat clip ini hanya jika anda cukup berani . Saya punya kekuatan untuk melihat video ini (walaupun saya tak la berani sangat) kerana ingin tahu apa yang berlaku pada saya. Jika anda tidak punya kekuatan untuk melihat video, pejamkan mata dan hayatilah alunan lagu khas untuk semua ibu.

SELAMAT HARI IBU



Hayatizain : Masa Mama datang check up sebulan Aqil di hospital nurse beritahu patutnya hari Mama dibedah dah ada patient yang sepatutnya dibedah (elective c-sec). Mama ni kira kategori emergency c-sec sebab tu Dr utamakan. Patient tu minta tangguh ke next day (eventhough Dr dah ready nak proceed 1 hour lepas kes Mama selesai) sebab dah tengahari (Aqil lahir 12.45 tengahari). Dia tak nak anaknya lahir tengahari mungkin atas kepercayaan tertentu (ada org kata lahir tengahari keras kepala sikit). Erm...Mama no comment.

0 comments: