Entry ini dipetik dari halaman
Saifulislam.com milik ustaz Hasrizal. Di sana tempat saya mengutip ilmu demi memperbaiki diri. Di sana juga selalu ada entry yang buat hati saya terubat dan bersemangat apabila lelah dengan urusan dunia. Terima kasih ustaz
******************************
“Anak-anak, dalam kereta duduk elok-elok. Pakai tali pinggang. Bahaya kalau berdiri” saya mengomel.
Naurah dan Imad berada di kerusi belakang.Mereka berebut makanan yang saya beli semasa ke UTP sehari sebelumnya. Ada kerepek pisang tergantung di belakang.“Allah, lupa pula yang hari ini Yeop ada kelas Taekwondo” saya merungut sendirian semasa melihat murid-murid Khalifah Model School rancak berlari mengelilingi premis KMS dengan pakaian lengkap mereka.
Kreta saya berhentikan di tepi jalan.
Cuaca sangat panas.
Pagi tadi saya demam panas. Mungkin keletihan yang berlebihan selepas memandu jauh dari Kuala Lumpur ke UTP di Sri Iskandar Perak dan kemudian pulang ke KL pada malam yang sama. Kuliah Zohor terpaksa saya batalkan.
“Ummi habis kerja hari ini jam 5. Kalau ambil Yeop dulu pun tak apa” saya membaca sms yang isteri hantar.
Ada sejam lagi sebelum pukul 5. Cuaca yang panas menyebabkan saya bertindak pulang semula ke rumah.
“Naurah, Imad, botol air tu bukankah ada dua. Tak perlu berebut. Nanti tumpah” saya menegur anak-anak yang tidak henti-henti berperang di belakang.
Telefon bimbit saya letakkan di tempat meletak cawan di kiri kerusi pemandu. Ia tempat biasa saya meletakkan telefon.
“Ehh, apa yang basah ini?” saya sedikit terkejut melihat percikan air di gear kereta.
Kesibukan jalanraya menyebabkan saya tidak berpeluang menoleh ke kiri dan kanan. Percikan air itu saya abaikan dan perhatian terus ditumpukan kepada jalanraya.
Setibanya di rumah, saya mahu membaca sms berbaki.
Allahu Akbar!
Seperti tidak percaya, Iphone berusia setahun lebih dan masih awet muda itu terendam di dalam tempat meletak cawan. Air mineral dengan jumlah hampir sebotol telah tersiram ke dalam bekas itu dan Iphone saya bergaya seperti kapal selam. Sebaik sahaja telefon itu dikeluarkan, tangan saya tersentak kerana terkena renjatan elektrik. Jika telefon lain, harus sahaja saya cabut baterinya segera untuk dikeringkan. Tetapi bagi Iphone yang baterinya berada di dalam, tambahan pula dengan wayar charger yang masih terlekat padanya, Iphone saya sudah Qaalu Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’oon!
Semasa menoleh ke belakang, Naurah memerhatikan saya sambil tangannya masih memegang botol air mineral yang sudah kosong. Imad pula menunding-nunding jari ke arah kakaknya.
“Kakak buat, kakak buat!” kata Imad.
Saya menelan air liur.
Antara marah yang bersangatan dan sayang kepada anak yang tidak bersyarat, saya hanya mampu melepaskan satu keluhan yang sangat dalam untuk membuang segala tekanan.
Marahlah anak.
Tetapi jangan sampai melabelnya.
“Bodoh! Degil! Kamu memang macam itu!”
Semua label, adalah kesimpulan kita tentang seorang anak. Apabila kita membuat kesimpulan, bererti kita telah memuktamadkan siapa anak kita. Kesimpulan itu menjadi doa. Hodohnya bahasa seorang bapa atau ibu jika yang didoakannya adalah kebodohan, kedegilan dan kenakalan si anak.
Saya mengurut dada, merenung tajam Naurah dan Imad dan mengekang lidah daripada menyebut apa-apa. Ketakutan mereka melihat renungan tajam saya, sudah memadai untuk hari itu.
BUKAN UNTUK BERGAYA
Saya membeli Iphone, sama seperti tujuan saya membeli telefon-telefon yang lain sebelumnya. Ia bukan untuk bergaya, tetapi saya yang sudah menggunakan PDA semenjak Palm V di tahun 1998 lagi, menggunakan seluruh fungsi yang ada di dalam telefon tersebut. Email, kalendar, Quran Search, Text and Bookmarking, Jadual Solat Satelit, Currency Converter, E-book, nota ceramah, kamera, Ipod, Safari Browser untuk internet, RSS Feed dan hampir 80% fungsi yang ada, kesemuanya saya gunakan dengan penuh optimum.
Kehilangan Iphone menyebabkan saya seperti kebakaran pejabat!
Terkenang kembali kerja keras hingga hilang separuh nyawa untuk membelinya, RM2000 hilang sekelip mata.
“Hari ini kalian Abi maafkan. Tetapi 10 tahun daripada sekarang Abi akan ceritakan kembali. Bukan untuk membalas dendam atau mengungkit-ungkit, tetapi sekadar mahu mengingatkan kamu sebagai remaja di hari itu, ada banyak kisah CINTA TANPA SYARAT seorang bapa dan ibu yang mungkin kamu telah lupa. Jangan mudah meremehkan ibu bapamu. Kalian mungkin lebih bijak dari ibu dan bapa. Tetapi mustahil kalian sebagai anak mampu bertanding dengan kasih sayang seorang ibu dan bapa” saya mengomel sendirian.
TRAGIS
“Ustaz, saya nak menjemput ustaz ke sekolah isteri saya di Putra Jaya pada 5hb akan datang. Ustaz berkelapangan?” tanya seorang ustaz semasa saya minum ringan selepas berceramah di Bangi.
“Sekejap ya. Bagi saya periksa jadual terlebih dahulu!” saya menjawab.
Tangan meraba-raba poket.
“Eh…” saya kebingungan.
Thahurun Insya Allah…
Wahai anak, kamu mungkin lebih bijak daripada kami, tetapi kamu tidak mungkin dapat mengatasi kasih seorang ibu dan bapa. Kamu hanya mampu mengasihi kami selepas kamu bijak, tetapi kami mengasihi kamu sebelum kamu lahir!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Anak-anakku maafkan mama jika kadangkala marah-marah di kala kalian buat sesuatu di luar jangkauan. Sesungguhnya mama hanya seorang wanita biasa yang menyayangi kalian seluruh jiwa dan raga
**hayatizain : Sentiasa kagum dengan gaya penulisan Ustaz Hasrizal dan isterinya Dr Nazhatul Muna (Ummusaif.com).